Hasan melawat Sauyah di rumahnya di Kampung Anga Bisa, Gachong di Kuala Pilah. FOTO Amran Yahya
Hasan melawat Sauyah di rumahnya di Kampung Anga Bisa, Gachong di Kuala Pilah. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya


“RABU ini saya mahu mengundi sekali lagi,” kata Sauyah Isa, 96, penduduk Kampung Anga Bisa, Gachong di Kuala Pilah yang tidak pernah terlepas melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sejak 1959.

Menurut wanita warga emas yang mesra dengan panggilan Onyang dalam kalangan penduduk kampung itu, dia sudah mengharungi hidup di zaman penaklukan Jepun dan penjajahan British.

"Saya tahu erti kesengsaraan bila hidup di bawah penjajah. Oleh itu setiap kali tiba pilihan raya, saya akan mengundi kerana mahu negara aman dan stabil," katanya.

Sauyah berkata, biarpun usianya hampir seabad dia bersemangat menunaikan tanggungjawab di hari mengundi, Rabu ini.

"Saya tidak sabar menunggu Rabu ini (untuk mengundi) dan akan dibawa cucu ke pusat pengundian" katanya ditemui selepas menerima kunjungan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek di rumahnya.

Menurut Sauyah, sepanjang menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi, dia tidak pernah berdepan dengan perasaan takut untuk keluar mengundi atau berdepan dengan situasi kecoh yang ditimbulkan pihak tertentu.

"Kita mengundi nak pilih pemimpin, jadi tak perlu kecoh-kecoh. Tak perlu nak takut-takutkan orang. Apa yang penting selepas pilihan raya negara kita terus aman," katanya yang mempunyai tiga anak, 23 cucu dan 59 cicit serta 12 orang piut.

Sementara itu, Hasan berkata, dia kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh Sauyah yang tidak pernah lupa melaksanakan tanggungjawab kepada negara setiap kali PRU.

"Sehubungan itu, saya juga mengajak pengundi yang berdaftar, keluarlah melaksanakan tanggungjawab mereka, Rabu ini. Mengundi dengan bijak dengan memikirkan masa depan dan kesejahteraan negara," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 4:11 PM