KEADAAN kenderaan pacuan empat roda yang terbabas mengakibatkan seorang kanak-kanak tujuh tahun maut manakala tiga lagi cedera di Kilometer 308.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara. -Foto IHSAN PDRM
KEADAAN kenderaan pacuan empat roda yang terbabas mengakibatkan seorang kanak-kanak tujuh tahun maut manakala tiga lagi cedera di Kilometer 308.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara. -Foto IHSAN PDRM
Farah Suhaidah Othman


KANAK-kanak maut manakala tiga lagi cedera selepas Toyota Hilux dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok di Kilometer 308.1, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di Kampar, pagi tadi.

Kemalangan pada 9.18 pagi itu menyebabkan M Veerasshan, 7, maut di lokasi kejadian.

Bapanya, S Muniandy, 46, dan dua lagi ahli keluarga mereka iaitu R Parvithiran, 18, pemandu kenderaan itu, RR Yageswara, 24, cedera.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati kesemua mangsa dalam perjalanan dari Johor menghala ke Pulau Pinang bagi menghadiri upacara pengebumian bapa Parvithiran di negeri berkenaan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan merempuh sebatang pokok.

“Akibat kemalangan itu, kanak-kanak berusia tujuh tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala RR Yageswara patah kaki kanan dan dihantar ke Hospital Fatimah di sini.

“Parvithiran dipercayai turut patah kaki kanan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi menerima rawatan lanjut manakala Muniandy hanya cedera ringan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kong Soon berkata, mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Kampar dan bedah siasat dijalankan pada 2 petang tadi.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati hujan renyai dan keadaan jalan basah serta berselekoh ketika kejadian.

“Toyota Hilux dinaiki semua mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan sebelah kiri kenderaan.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 4:59 PM