MPV terbakar selepas terbabas di Lebuhraya Sultan Iskandar. FOTO ihsan Bomba
MPV terbakar selepas terbabas di Lebuhraya Sultan Iskandar. FOTO ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI rentung apabila kenderaan dipandunya terbakar selepas terbabas di Lebuhraya Sultan Iskandar dari arah Sentul menghala ke Seremban berhampiran Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, mangsa yang tidak dapat dikenal pasti identiti ditemui dalam keadaan rentung di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, 3.54 pagi tadi.

“Sembilan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati MPV itu sedang terbakar dan mengambil masa beberapa minit untuk memadamkan kebakaran,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Khirudin berkata, mangsa ditemui dalam keadaan rentung hampir keseluruhan badan.

“Kami mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dari bawah kenderaan itu.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 9:07 AM