Nur Saliawati Salberi


LELAKI ditahan selepas mengamuk dan mengugut untuk membunuh abangnya dalam perselisihan faham di rumah di Taman Nyalas Baru, Asahan, Jasin, di sini, pagi semalam.

Lelaki berusia 24 tahun yang mengacukan pisau ke arah abangnya itu ditahan sepasukan anggota polis pada 3.05 pagi selepas lebih empat jam usaha memujuknya supaya menyerah diri.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian pengadu bersama ibunya berusia 60-an tiada di rumah namun, bergegas pulang selepas menerima panggilan daripada isteri suspek, pada 9.15 malam.

Beliau berkata, sejurus tiba di rumah, abang suspek yang berusia 26 tahun bertanyakan apa yang dilakukan oleh suspek ke atas isterinya.

"Bagaimanapun, suspek mengeluarkan kata-kata kesat lalu pergi ke dapur mengambil sebilah pisau dan mengacukan ke arah abangnya itu.

"Suspek turut berkata mahu membunuh abangnya beberapa kali, tetapi di halang oleh ibu mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Arshad berkata, ibu, isteri dan abang suspek kemudiannya keluar daripada rumah kerana bimbang sekiranya perkara tidak diingini berlaku.

"Tiada kecederaan dilaporkan dan siasatan di lokasi kejadian menemui sebilah pisau.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek tidak mengambil sebarang bahan terlarang. “Suspek direman selama tiga hari sehingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 306 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 1:40 PM