GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Saliawati Salberi


LELAKI maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan kereta dalam kejadian di Kilometer 3, Jalan Kelubi-Jasin, Jasin, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.45 tengah malam itu, mangsa Syahid Jamaluddin Idris, 22, yang menunggang motosikal Yamaha LC maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, sebelum kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Jasin menghala ke Kelubi manakala kereta Proton Persona terbabit pula dari arah bertentangan.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu lelaki berusia 36 tahun itu masuk ke laluan bertentangan.

“Pemandu kereta terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terlanggar motosikal mangsa menyebabkan mangsa tercampak kira-kira dua meter.

“Akibat rempuhan itu mangsa disahkan meninggal di lokasi kejadian akibat parah di beberapa bahagian badan termasuk kepala sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Jasin.

“Pemandu kereta pula cedera di bahagian dada serta tangan kiri,” katanya.

Arshad berkata, rakaman keterangan daripada pemandu kereta akan diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 4:39 PM