GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ayusliza Azizan

TIGA lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan samun melalui serbuan yang dilakukan di Klang dan Seri Kembangan, hari ini.

Kesemua mereka yang berusia antara 29 hingga 36 tahun itu ditahan atas maklumat orang awam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, ia juga susulan daripada penyebaran dua rakaman video kejadian samun di Taman Berkeley dan Taman Bukit Kuda di Klang, Sabtu minggu lalu.

Menerusi video yang berdurasi satu minit 19 saat dan 26 saat itu, didapati dua lelaki menunggang motosikal bertindak menceroboh kemudian memecahkan cermin kereta mangsa yang baru dipakirkan diruang tempat letak kereta rumah dengan menggunakan rantai besi.

Fadzil berkata, tiga suspek yang berjaya ditangkap adalah dua individu yang kelihatan dalam rakaman video itu dan seorang pemilik motosikal.

"Siasatan awal mendapati suspek ini juga telah melakukan satu lagi kes samun di sekitar kawasan Klang pada malam yang sama.

"Suspek ini juga melakukan satu lagi samun dalam rumah pada waktu malam keesokan harinya (Ahad) juga di sekitar Klang," katanya.

Beliau berkata, dua daripada mereka mempunyai pelbagai rekod seperti samun dan dadah.

Katanya, kesemua tangkapan ditahan reman selama empat hari bermula pagi ini.

Video ihsan pdrm

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 12:34 PM