Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menahan empat orang, termasuk dua suspek utama kes samun remaja perempuan di Kampung Masjid Bangi pada 7 Julai lalu, dalam empat serbuan berasingan di sekitar Kajang bermula semalam hingga hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, keempat-empat suspek termasuk seorang wanita ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor.

"Dalam serbuan pertama, polis menahan seorang wanita berusia 56 tahun di Bandar Teknologi Kajang pada 5 petang, semalam. Sejam kemudian, polis menahan seorang lelaki berusia 22 tahun di Kajang.

"Hari ini, polis menahan dua suspek utama iaitu seorang lelaki berusia 21 tahun di Sungai Chua, Kajang, sebelum seorang lagi individu berusia 23 tahun ditahan di lokasi sama," katanya.

Fadzil berkata, kedua-dua suspek utama itu mempunyai rekod jenayah lampau.

"Suspek pertama berusia 21 tahun mempunyai enam rekod jenayah lampau, manakala rakannya memiliki lima rekod.

“Semua suspek yang ditahan itu direman lima hari bermula hari ini sehingga 18 Julai untuk siasatan lanjut," katanya.

Dalam kejadian 7 Julai lalu, remaja perempuan berusia 14 tahun itu, Syazana Amirah Asshaari, cedera parah disamun dua lelaki di Kampung Masjid Bangi, Kajang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 6:03 PM