LAPORAN portal berita Harian Metro, Jumaat lalu mengenai kumpulan penyamun bermotosikal bersenjatakan parang.
LAPORAN portal berita Harian Metro, Jumaat lalu mengenai kumpulan penyamun bermotosikal bersenjatakan parang.
Hasbi Sidek


KUMPULAN penyamun bermotosikal yang melakukan kegiatan jenayah dengan parang di beberapa lokasi di Selangor, umpama cacing kepanasan apabila mereka kini berada dalam ‘radar’ pihak polis.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, sehingga kini tiada tangkapan membabitkan kejadian cubaan samun di Bukit Kuchai, Bandar Kinrara itu.

“Sehingga kini belum ada tangkapan mana-mana suspek yang terbabit dalam kejadian berkenaan. Identiti suspek belum dikenalpasti.

“Bagaimanapun, polis sedang giat mengesan suspek dan sebarang pergerakan mereka kini memang berada di bawah pengawasan kami,” katanya.

Beliau berkata, seperti dimaklumkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat sebelum ini, mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek atau terlihat kelibat kumpulan lelaki bermotosikal dalam keadaan mencurigakan diminta segera menghubungi polis.

Fadzil dilaporkan tidak dapat mengesahkan sama ada semua kes berkenaan membabitkan suspek sama meskipun modus operandi dilakukan serta jumlah pembabitan suspek hampir serupa.

Kelmarin, tiga kes samun dan cubaan samun dilaporkan berlaku membabitkan antara enam, tujuh dan lapan lelaki dipercayai menaiki empat motosikal dan bersenjatakan parang dengan mencari sasaran berada di pekarangan rumah di kawasan sunyi.

Dalam kes pertama pada 2.15 petang kelmarin, seorang lelaki yang sedang meletakkan kereta di luar rumahnya di Jalan Sri Sarawak, Taman Sri Andalas, Klang, didatangi enam lelaki menaiki motosikal yang mengacukan parang sebelum melarikan wang tunai RM5,000, buku cek, barang kemas RM2,000 dan telefon bimbit.

Tidak lama selepas itu, seorang wanita disamun ketika sedang berada di hadapan rumahnya di Lorong Lengkongan, Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang, oleh lapan lelaki bersenjatakan parang yang menaiki empat motosikal Yamaha 125Z.

Sekitar 4.05 petang Khamis lalu, seorang lelaki yang mahu keluar dari rumahnya di Bukit Kuchai, Bandar Kinrara, cuba disamun tujuh lelaki menaiki empat motosikal yang sebelum itu berlegar-legar di sekitar kawasan kediamannya.

Namun, suspek gagal menyamun mangsa selepas dia melarikan diri masuk ke dalam rumah sebelum mengunci pintu manakala dua dari suspek bersenjatakan parang tidak berjaya memecahkan pintu rumah mangsa sebelum membocorkan tayar kereta dan melarikan diri.

Berita berkaitan

[UPDATE] Polis giat buru penjenayah bermotosikal

Warga emas jadi mangsa penjenayah bermotosikal

Nyaris ditetak penyamun [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 12:25 AM