KERATAN berita Harian Metro
KERATAN berita Harian Metro
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menahan tiga pengawal keselamatan di syarikat kawalan keselamatan bagi membantu siasatan kes samun membabitkan seorang pengurus syarikat yang melarikan wang tunai RM2.5 juta, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, ketiga-tiga pengawal keselamatan berusia 30-an itu ditahan reman dua hari bermula semalam hingga hari ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Kami sudah menahan ketiga-tiga pengawal keselamatan terbabit bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Pada masa sama, gerakan memburu suspek yang juga kakitangan di syarikat kawalan keselamatan itu sedang giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fadzil berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek terbabit diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Jegathiswaren Ganesan di talian 010-9671818 atau tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjat Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melakukan rompakan serta samun bersenjata,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, suspek yang juga pengurus syarikat berusia 38 tahun dipercayai melarikan wang tunai RM2.5 juta yang diletakkan di sebuah bilik kebal sebuah syarikat kawalan keselamatan di Sungai Dua, Rawang, Gombak, semalam.

Berdasarkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat syarikat terbabit, lelaki itu dikatakan mengejutkan tiga pengawal keselamatan yang bertugas dan memaklumkan bilik kebal itu tidak berkunci sebelum mengacu senapang serta mengurung mereka di sebuah bilik berhampiran.

Difahamkan, suspek mengambil masa kira-kira 20 minit untuk meletakkan wang tunai di dalam bilik kebal berkenaan ke dalam beg miliknya sebelum melarikan diri menaiki motosikal.

Berita berkaitan

Sebulan bekerja kaut RM2.5 juta

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 6:37 PM