Norrasyidah Arshad


POLIS menahan lelaki yang dikesan menghina Islam di Johor Bahru, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan pada 3.40 pagi di tempat awam.

"Suspek yang berasal dari Kedah itu tinggal di Johor Bahru tetapi bekerja di Singapura.

"Dia ditahan selepas satu laporan polis dibuat pada 30 Ogos lalu berkenaan videonya menghina agama Islam tersebar di media sosial," katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam, hari ini.

Fadzil berkata, laporan polis terbabit dibuat seorang lelaki di Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Dalam video berdurasi kira-kira dua minit 30 saat itu, lelaki memakai baju singlet putih dan bertopi dilihat menghina serta mempersendakan agama Islam.

Lelaki terbabit turut mengeluarkan perkataan kesat yang ditujukan kepada masyarakat Melayu negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 5:44 PM
PETIKAN video menunjukkan suspek menghina serta mempersendakan Islam ditahan polis.
PETIKAN video menunjukkan suspek menghina serta mempersendakan Islam ditahan polis.