KERETA dipandu lelaki terbabas selepas merempuh dua motosikal menyebabkan dua maut dan dua parah berhampiran sebuah stesen minyak di Sungai Jawi, Nibong Tebal, hari ini. FOTO ihsan polis
KERETA dipandu lelaki terbabas selepas merempuh dua motosikal menyebabkan dua maut dan dua parah berhampiran sebuah stesen minyak di Sungai Jawi, Nibong Tebal, hari ini. FOTO ihsan polis
Hadzlihady Hassan


ANGKARA memandu laju, seorang pemandu kereta merempuh dua motosikal hingga menyebabkan penunggang dan pembonceng maut dalam kemalangan di Kilometer 27, Jalan Besar Sungai Bakap, Nibong Tebal, hari ini.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, penunggang motosikal iaitu lelaki berusia 26 tahun dan pembonceng wanita berusia 21 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan teruk di seluruh badan.

Dua lagi lelaki iaitu penunggang dan pembonceng sebuah lagi motosikal berusia 26 dan 16 tahun pula parah dengan seorang daripadanya dikatakan putus kaki dan kini masih mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Bakap.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Shafee Abd Samad berkata, siasatan awal mendapati semua kenderaan terbabit dalam perjalanan dari Nibong Tebal menuju ke Sungai Jawi.

“Bagaimanapun, sebuah kereta dipandu laju merempuh dua motosikal berkenaan membuatkan semua mangsa tercampak ke tepi jalan.

“Siasatan awal mendapati jalan berkenaan adalah satu lorong dan ketika kejadian cuaca baik selain laluan trafik tidak sibuk,” katanya.

Beliau berkata, mayat dua mangsa itu dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat dan polis menahan pemandu kereta berusia 25 tahun itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, pemandu kereta terbabit hanya cedera ringan dan polis turut mengesan saksi bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 7:26 PM