LELAKI dibelasah sebelum diberkas polis selepas menikam mangsa disebabkan dendam.
LELAKI dibelasah sebelum diberkas polis selepas menikam mangsa disebabkan dendam.
Junaidi Ladjana

Keningau': Dendam dipercayai menjadi punca lelaki yang memiliki rekod pesakit mental menikam seorang lelaki di hadapan sebuah premis Pekan Keningau di sini, kelmarin.

Menurut sumber, lelaki berusia 41 tahun dikatakan menikam mangsa menggunakan pisau di badan dan kepala ketika mangsa berhenti di tepi jalan untuk membuang air kecil jam 6 petang itu.

“Selepas kejadian itu, suspek dikatakan melarikan diri ke arah pekan manakala mangsa yang terbaring diselamatkan orang ramai dan menghantarnya ke balai polis berhampiran sebelum dikejarkan ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut,” katanya.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, hasil siasatan berjaya mengesan dan menahan suspek, jam 10.35 pagi semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek dikatakan selalu ke pasar malam dan meminta wang daripada orang ramai dan mangsa dipercayai membantu seorang lelaki daripada diugut suspek.

“Susulan itu, suspek berdendam dengan mangsa sebelum dia bertindak mencederakan lelaki itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 5:57 AM