GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shamsul Munir Safini


ANGKARA dendam, lelaki maut ditetak tiga lelaki lain dengan parang di Taman Sintar, Nibong Tebal, 2.25 pagi, hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa dikenali dengan panggilan Varajami, 24, maut selepas parah di badan ekoran ditetak tiga suspek lelaki di rumah sewanya di situ.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad berkata, mangsa tinggal di rumah teres dua tingkat itu bersama adiknya yang tidur di tingkat atas.

“Ketiga-tiga suspek dipercayai memecah masuk rumah mangsa dan berlaku pergaduhan di antara mereka sebelum mangsa maut ditetak.

“Ketika kejadian adiknya tidak menyedari kejadian kerana sedang tidur sebelum hanya menyedari abangnya terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah,” katanya.

Menurutnya, polis hanya menerima maklumat kejadian selepas dimaklumkan orang awam mengenai pergaduhan di situ.

Katanya, polis yang tiba di lokasi kejadian menemui mayat mangsa terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah, dan turut menemui dua parang di sisi mayat.

“Susulan kejadian itu, polis menahan dua suspek di dua lokasi berasingan di Nibong Tebal dan Georgetown.

“Mereka yang berusia antara 20 hingga 24 tahun berkenaan akan direman bagi tujuan siasatan,” katanya.

Shafee berkata, mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Beliau berkata, motif kejadian dipercayai kerana dendam dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 1:34 PM