AHMAD Fairuz menyampaikan sumbangan kepada wakil keluarga yang terjejas di bangunan Blok 4, Flat Jubli Perak PKNS.
AHMAD Fairuz menyampaikan sumbangan kepada wakil keluarga yang terjejas di bangunan Blok 4, Flat Jubli Perak PKNS.
Nurul Hidayah Bahaudin

Bangi: Lebih 300 penduduk Blok 4, Flat Jubli Perak PKNS di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi di sini, menarik nafas lega apabila dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas bangunan terbabit disahkan selamat untuk diduduki.

Mereka semua sebelum ini diarah berpindah sementara ekoran tiang di bangunan berkenaan mengalami keretakan serius pada Selasa lalu.

Ketua Pengurusan Bencana Selangor Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, semua penghuni flat terbabit dibenarkan pulang jam 6 petang semalam dan pusat pemindahan sementara akan ditutup.

“Kami melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sudah melantik pakar bagi melakukan pemeriksaan terhadap flat berkenaan. Tiada pergerakan dikesan sepanjang tempoh tiga hari pemantauan rapi dijalankan.

“Pada masa sama, kami sudah memperbaiki 14 tiang yang mengalami kerosakan kecil menggunakan kaedah ‘carbon fiber based textile-reinforced’, manakala empat tiang yang mengalami kerosakan serius menjalani kaedah pembesaran tiang dan besi tetulang,” katanya pada sidang media di Pusat Pemindahan Orang Ramai Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) Seksyen 2 Bandar Baru Bangi, di sini, semalam.

Dalam kejadian Selasa lalu, penghuni dari 48 unit di flat empat tingkat itu terpaksa dipindahkan selepas bangunan kediaman mereka dikatakan tidak selamat terjejas ekoran keretakan serius pada tiang di bangunan berkenaan.

Ahmad Fairuz berkata, pihaknya turut memasang 450 tiang sokongan bagi memastikan kestabilan bangunan terbabit.

“Kerja-kerja pembaikan dilakukan secara berterusan dalam tempoh dua minggu.

“Kami juga akan menjalankan pemantauan terhadap bangunan itu dalam tempoh 45 hari bagi memastikan flat berkenaan selamat untuk diduduki,” katanya yang memaklumkan kos pembaikan masih belum diketahui.

Ahmad Fairuz turut menyampaikan wang ehsan berjumlah RM500 serta makanan kering kepada lebih 30 keluarga yang terjejas akibat kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 5:35 AM