Antara basikal lajak yang dirampas (gambar kecil) manakala ibu bapa kanak-kanak dan remaja yang terbabit memberikan kerjasama kepada polis. FOTO Ihsan PDRM
Antara basikal lajak yang dirampas (gambar kecil) manakala ibu bapa kanak-kanak dan remaja yang terbabit memberikan kerjasama kepada polis. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Helmi Irwadi Mohd Norsekolahkan

LIMA puluh lima kanak-kanak dan remaja berusia 10 hingga 15 tahun ditahan polis berikutan memiliki 50 basikal lajak yang tidak menepati ciri keselamatan di kawasan Hutan Lipur Lenggeng, di Nilai.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Zaldino Zaludin berkata, sepasukan anggota polis peronda (MPV) yang menjalankan rondaan jenayah terserempak dengan semua remaja terbabit, jam 11 pagi kelmarin.

Katanya, remaja itu yang sedang beriadah mengaku basikal kepunyaan mereka dan pemeriksaan mendapati ia tidak menepati ciri keselamatan di bahagian lampu serta brek.

Menurutnya, sepasukan anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bergegas ke lokasi dan membawa basikal ke Balai Polis Lenggeng.

"Semua 55 remaja itu dibawa bersama sebelum ibu bapa mereka dipanggil ke balai. Semua yang hadir diberi nasihat oleh Ketua BPJKK IPD Nilai, Inspektor Jaslin Mian," katanya dalam kenyataan, di Nilai, hari ini.

Menurut Zaldino, ibu bapa memberi kerjasama dan reaksi positif dan menghargai tindakan polis kerana sebahagian mereka tidak tahu aktiviti anak-anak.

Katanya lagi, pihaknya memberi tempoh dua minggu supaya mengubahsuai basikal ke bentuk asal dan semua yang ditahan dibebaskan dengan jaminan polis.

"Pihak kami berharap orang ramai sedar penggunaan basikal lajak membahayakan dan operasi bertujuan membendung masalah sosial di kalangan remaja," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 42 (1) (a) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 dan Seksyen 112 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Selain itu ibu bapa juga boleh disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membiarkan anak tanpa pengawasan.

"Pihak polis menasihatkan ibu bapa memantau pergerakan anak-anak bagi keselamatan mereka. Operasi sebegini akan diteruskan daripada semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 4:43 PM