Raub   (tiga dari kiri) menunjukkan sebahagian basikal lajak yang disita, semalam.
Raub (tiga dari kiri) menunjukkan sebahagian basikal lajak yang disita, semalam.
Ahmad Ismail

Segamat: Pengaruh basikal lajak mula menular ke daerah ini apabila polis mendapati beberapa kumpulan kanak-kanak dan remaja lelaki menjadikan kawasan berbukit di Kilometer 6 Jalan Segamat-Medoi di sini, sebagai litar perlumbaan mereka sejak beberapa minggu lalu.

Mereka dikatakan berkumpul dan berlumba sesama sendiri pada waktu malam dan petang, selain bersorak ketika rakan berlumba dan membunyikan hon angin hingga mengganggu ketenteraman orang ramai.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, bertindak atas maklumat penduduk dia mengetuai operasi mencegah lumba basikal lajak di lokasi itu sebelum menahan enam kanak-kanak dan remaja lelaki berusia 10 hingga 15 tahun pada jam 6.30 petang kelmarin.

“Apabila tiba di lokasi, kami melakukan intipan dan ketika itu menyaksikan beberapa aksi berbahaya dilakukan penunggang basikal lajak ini termasuk mengangkat tayar hadapan, berbaring atas basikal atau ala Superman, berkumpulan dan berlumba di tengah jalan selain membunyikan hon angin.

“Selepas menyaksikan perbuatan mereka, saya dibantu enam anggota dan pegawai trafik daerah menahan enam pelumba basikal lajak itu serta merampas enam basikal yang digunakan mereka.

“Hasil siasatan, kami dapati basikal mereka tidak mempunyai brek, tiada loceng dan tiada lampu untuk kegunaan malam,” katanya ketika ditemui di perkarangan Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di sini, semalam.

Raub berkata, walaupun tiada brek, lampu, dan loceng basikal lajak yang dirampas itu dilengkapi hon angin dan diubah suai hingga mempunyai dua pemegang dipercayai untuk kegunaan perlumbaan dan jalan jauh.

Katanya, semua ibu bapa remaja berkenaan dihubungi dan dimaklumkan mengenai risiko perbuatan mereka dan dipanggil ke IPD Segamat dalam masa terdekat untuk diberikan kaunseling.

Pada masa sama, katanya, pihaknya akan memantau kawasan lain yang dijadikan lokasi perlumbaan basikal lajak dan berharap mereka menjadikan kemalangan maut di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru yang meragut lapan nyawa sebagai pengajaran.

“Saya tidak mahu komen mengenai kejadian itu namun ia sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua remaja yang menunggang basikal lajak dan ibu bapa mereka.

“Kes ini mendapat liputan meluas dan media memaparkan pelbagai jenis basikal digunakan, ibu bapa sepatutnya tahu basikal lajak dan melupuskan basikal berkenaan serta menggantikan dengan basikal lain serta mendaftarkan anak-kanak ke dalam persatuan basikal supaya mereka selamat beriadah.

“Semua pemilik basikal didenda RM30 mengikut Peraturan 42(1)(A)LN166/69 dan kami tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas ibu bapa mereka sekiranya remaja berkenaan mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 6:21 AM