Tuan Asri Tuan Hussein

Lapan nyawa yang melayang akibat insiden di Johor Bahru pada Februari lalu seolah-olah tidak memberi makna kepada kelompok anak-anak kita yang mungkin boleh dilabel peminat tegar basikal lajak.

Itu kesimpulan yang boleh saya buat apabila sekurang-kurang 40 kanak-kanak dan remaja berusia 11 hingga 15 tahun ditahan polis kerana menyertai perlumbaan basikal lajak di kawasan jambatan baru berhampiran Teluk Pulai, Klang malam kelmarin.

Istilah basikal lajak merujuk kepada basikal yang mengalami proses pengubahsuaian tertentu dengan ciri paling utama ialah tidak dilengkapi brek. Mungkin sebab itulah ia dipanggil lajak.

Saya difahamkan harga sebuah basikal lajak mampu mencecah sehingga RM800 seunit dan harga banyak bergantung kepada pengubahsuaian yang dilakukan.

Secara fizikal, basikal lajak ini bersaiz kecil, bentuk pedal dan tayar digunakan dipanggil ‘tayar sotong’. Kebanyakan pemilik akan mengubahsuai menjadikan rupa bentuk basikal itu lebih ‘sporty’ dan aerodinamik.

Mengimbas kejadian pada 18 Februari lalu lapan remaja lelaki belasan tahun maut manakala lapan lagi cedera termasuk dua parah apabila dirempuh sebuah kereta ketika berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam, berhampiran Tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mereka yang menunggang basikal lajak sedang bergerak ke arah lampu isyarat Jalan Sungai Chat berhampiran Hotel Thistle sebelum dirempuh sebuah kereta Nissan Almera dipandu seorang wanita.

Perlumbaan basikal lajak di Teluk Pulai, Klang malam kelmarin membuktikan ‘penangan’ basikal lajak ini belum berakhir dan kini ia sudah merebak ke Selangor pula.

Lebih membimbangkan, aktiviti menunggang di Teluk Pulai ini turut mengandungi unsur lumba haram dan judi. Ini berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada mesej promosi perlumbaan itu yang tersebar luar melalui aplikasi Wechat dan WhatApps.

Antara kandungan mesej promosi itu ialah: “sebijik basikal RM6.00. Penganjur RM2.00. Duit penganjur pegang...abis game sape menang kasi angkat wang” sebelum tertera beberapa ‘hashtag’ di hujung mesej termasuk #LuDepanLuKing #MenangAngkatWang.”

Maklumat daripada mesej promosi ini yang turut menyatakan tarikh, waktu dan lokasi perlumbaan memudahkan polis mengadakan operasi sebelum menahan kumpulan remaja terbabit di dalam perlumbaan basikal lajak itu.

Tentu tidak adil untuk kita menyalahkan remaja terbabit bulat-bulat. Pada usia yang masih mentah termasuk sebahagian baru berusia 11 tahun, mereka belum cukup matang untuk mengawal keinginan mencuba sesuatu yang baru dan mencabar.

Justeru, bagi mengekang kegiatan menunggang basikal lajak ini terus merebak ke kawasan dan negeri lain serta memungkinkan berlaku lagi kemalangan yang menyebabkan kematian, langkah pencegahan segera amat penting.

Setiap ibu bapa yang ada anak remaja wajib memastikan anak masing-masing tidak terbabit dalam aktiviti menunggang basikal lajak ini kerana ‘sudah terang lagi bersuluh’ ia amat membahayakan keselamatan.

Senang cakap, kalau tengok anak kita memiliki basikal lajak. Jual saja basikal itu dan gantikan basikal lain. Pastikan anak tidak keluar rumah pada waktu malam untuk meronda-ronda dengan basikal.

Pihak berkuasa, antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidikan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga di seluruh negara juga harus bersikap proaktif dengan mencontohi langkah rakan sekerja mereka di Johor selepas berlakunya ‘Tragedi 18 Februari’.

Di Johor, selepas berlakunya kejadian mengorbankan lapan nyawa itu polis secara berterus melakukan pemantauan dan operasi terhadap remaja yang menunggang basikal lajak secara liar dan berbahaya.

Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) pula mengeluarkan surat pekeliling untuk memberi kesedaran berkaitan penggunaan basikal lajak yang menyalahi peraturan dan undang-undang.

Selain itu, guru kaunselor juga diarah memberi kaunseling kepada murid atau pelajar yang dikenal pasti mempunyai basikal lajak supaya mereka tidak terus melakukan aktiviti terbabit.

Jangan pandang ringan masalah ini kerana pemerhatian saya aktiviti menunggang basikal secara berkumpulan dan berbahaya membabitkan kanak-kanak dan remaja sekolah cukup popular sejak kebelakangan ini.

Ada yang naik basikal lajak dan ada juga yang menggunakan basikal ‘fixie.’ Dengan jumlah seramai cuma empat atau lima orang, namun boleh juga meningkat sehingga 50 orang, mereka bergerak secara konvoi hingga mengganggu kelancaran lalu lintas dan mengundang bahaya.

Lebih membimbangkan, kebanyakan anak-anak remaja ini melakukan aktiviti itu pada waktu malam dan awal pagi. Saya berpengalaman beberapa kali terserempak dengan kumpulan remaja seperti ini di Jalan Tuanku Abdul Rahman di tengah ibu kota, sekitar jam 11 malam.

“Terlajak perahu boleh diundur, terlajak basikal buruk padahnya.” Maafkan saya kerana mengubah suai pepatah itu. Yang pasti, awasi anak-anak kita. Bertindak segera bagi menghentikan aktiviti tidak sihat ini sebelum timbul pelbagai masalah lain yang lebih serius.

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 1:42 AM