NOOR Azam (tiga kiri) menunjukkan pistol dan barangan lain yang dirampas. Turut bersama Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh (tiga kanan). FOTO Iqmal Haqim Rosman
NOOR Azam (tiga kiri) menunjukkan pistol dan barangan lain yang dirampas. Turut bersama Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh (tiga kanan). FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim


DUA penjenayah yang maut dalam kejadian berbalas tembakan di Persiaran Ainsdale Selatan, Seremban, hari ini dipercayai terbabit dalam beberapa kes samun dan pecah rumah di Negeri Sembilan dan Selangor.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, identiti kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an itu bagaimanapun belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui di lokasi.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, kejadian berlaku apabila polis yang menjalankan rondaan melihat kereta dalam keadaan mencurigakan di Jalan Seremban 2-Labu, Seremban, lalu mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan, pada 3.15 pagi.

“Sebaliknya, suspek memecut kenderaan dan dikejar polis sejauh dua kilometer sebelum dihalang di lokasi kejadian.

“Suspek yang duduk di bahagian penumpang hadapan melepaskan empat das tembakan manakala pemandu meluru keluar dan melibas parang ke arah polis.

“Polis kemudian melepaskan lima das tembakan ke arah kedua-dua suspek sebagai tindakan mempertahankan diri sekali gus menyebabkan kedua-duanya maut di tempat kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Adzli Abu Shah serta Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh.

Noor Azam berkata, mayat kedua-dua suspek dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk bedah siasat termasuk mengenal pasti identiti sama ada rakyat tempatan atau warga asing.

Katanya, pemeriksaan ke atas kereta yang digunakan suspek menemui sepucuk revolver .38 berisi empat kelongsong peluru dan dua butir peluru hidup serta dua bilah parang, lima keping nombor plat palsu selain beg berisi peralatan pecah rumah serta 17 butir peluru hidup.

“Malah, pemeriksaan lanjut mendapati kereta yang digunakan suspek itu juga dilaporkan disamun di Klang, Selangor dan menggunakan nombor plat palsu,” katanya sambil menyatakan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan:

Penjenayah maut ditembak

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 7:36 PM