PEGAWAI dan anggota polis melakukan siasatan di lokasi kejadian. FOTO Zuliaty Zulkiffli
PEGAWAI dan anggota polis melakukan siasatan di lokasi kejadian. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Penjenayah yang maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di jalan Bukit Kechik, Napoh, Changlun dekat sini sempat melepaskan dua das tembakan sebelum maut ditembak dengan empat das tembakan oleh polis.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata, Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah yang melakukan rondaan Op Laras di kawasan kejadian ternampak sebuah kereta Proton Saga yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, pasukan serbuan yang melakukan rondaan di tempat ini dan mendapati kereta itu agak mencurigakan dan polis meminta suspek berhenti namun dia enggan berbuat demikian.

"Suspek bagaimanapun melepaskan dua das tembakan ke arah polis dan polis yang ketika itu cuba mempertahankan diri, membalas empat das tembakan yang mengenai dada kirinya menyebabkan suspek meninggal dunia di tempat kejadian," katanya pada sidang media di lokasi kejadian, malam ini.

Hadir sama, Timbalannya Deputi Komisioner Adzli Abu Shah dan Timbalan Ketua JSJ Kedah Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail.

Fisol berkata, berdasarkan pemeriksaan lanjut mendapati, suspek dipercayai warga tempatan berusia 57 tahun dan semakan mendapati, dia mempunyai empat rekod jenayah berkaitan dadah dan senjata api tiruan.

Beliau berkata, pemeriksaan dalam kereta suspek menemukan dua pucuk pistol dan 240 butir peluru.

"Peluru yang ditemui adalah 9 milimeter (mm) 100 butir, .38 juga 100 butir serta peluru 5.56 yang digunakan untuk senjata rifle seperti M-16.

"Hasil pemeriksaan masih dilakukan oleh Unit Forensik dari Kontinjen Kedah dan pasukan JSJ Kedah di lokasi kejadian," katanya.

Fisol berkata, kes disiasat menurut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui sama ada suspek terbabit dengan mana-mana sindiket atau sebaliknya.

"Mayat suspek berkenaan dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, suspek berketurunan Cina ditemukan mati di tempat duduk pemandu hadapan kereta Proton Saga dalam keadaan berlumuran darah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 10:16 PM