LAPORAN portal berita Harian Metro pada 18 Januari lalu.
LAPORAN portal berita Harian Metro pada 18 Januari lalu.
Najiy Jefri


KEMENTERIAN Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengesahkan pengacara Neelofa kekal sebagai Ikon Tahun Memperkasa Wanita 2018 (TMW18).

KPWKM dalam satu kenyataan turut menafikan wujud Anugerah Ikon Wanita Negara seperti ditularkan di blog baru-baru ini, dengan mendakwa Neelofa digugurkan sebagai ikon.

“Pihak kementerian melihat segala sumbangan dan kejayaan yang diraih Neelofa sebelum ini, dan percaya ia dapat memberi insipirasi kepada wanita untuk terus bergerak lebih jauh dan berdaya saing bagi mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.

“Kementerian melihat daripada sudut positif apa yang akan disumbangkan oleh beliau (Neelofa) untuk memperkasakan wanita,” kata kenyataan itu, hari ini.

Terdahulu, sebuah blog melaporkan Neelofa bakal digugurkan dalam senarai Ikon Wanita Negara berikutan majlis pelancaran koleksi tudung terbarunya di sebuah kelab malam di ibu negara yang mencetuskan kontroversi.

Menurut kenyataan itu, perbincangan antara KPWKM dan Neelofa dibuat sebelum dia diumumkan sebagai Ikon TMW18.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk memberikan yang terbaik kepada wanita bagi memastikan setiap agenda dan program yang dirancang akan dapat dilaksanakan untuk terus memajukan wanita sempena TMW18,” katanya.

Pada 17 Januari lalu, Neelofa dilantik menjadi ikon TMW18, selain Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Datin Vivy Yusof.

Pemilihan tiga ikon ini dipilih sebagai penggerak dan pemaju TMW18 berdasarkan pencapaian mereka dalam bidang masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 9:55 PM