GAMBAR hiasan, sekadar hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan, sekadar hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menjalinkan kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memastikan kanak-kanak di institusi kebajikan kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diterima masuk ke sekolah aliran perdana.

KPWKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ia termasuk kanak-kanak disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen.

"Dalam hal ini, JKM mengenal pasti 40 kanak-kanak yang berstatus tiada dokumen. Daripada jumlah tersebut, 10 kanak-kanak dari beberapa institusi telah diterima masuk ke sekolah aliran perdana," katanya.

Kenyataan itu memaklumkan pada hari ini Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun mengiringi dan menyantuni enam kanak-kanak yang telah diluluskan untuk diterima masuk ke Sekolah Kebangsaan Taman Midah 2, Cheras, di sini.

Kemasukan kanak-kanak ke sekolah berkenaan selepas memenuhi semua syarat ditetapkan oleh KPM manakala 30 kanak-kanak lagi dalam proses permohonan, menurut kenyataan itu.

Menurut KPWKM, langkah berkenaan penting dalam memastikan kanak-kanak di institusi kebajikan kendalian JKM dapat diintergrasikan dalam masyarakat dan sebagai persediaan untuk mereka melangkah keluar daripada institusi kebajikan bagi menjalani kehidupan normal.

KPWKM turut berterima kasih kepada KPM atas inisiatif yang diambil dalam memastikan tiada kanak-kanak tertinggal dalam mendapatkan pendidikan formal di negara ini.

KPWKM juga sentiasa memantau perkembangan kanak-kanak yang telah diberi peluang pendidikan di sekolah aliran perdana dari semasa ke semasa dan memastikan peluang dan kemudahan itu diberi sama rata kepada lebih ramai kanak-kanak di institusi kebajikan di bawah JKM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 10:12 PM