GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Klang: Mayat seorang wanita warganegara Indonesia dalam keadaan separuh bogel ditemui dengan kesan tikaman di leher oleh rakan serumah mangsa di Jalan Sri Sarawak 18, Taman Sri Andalas, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan daripada rakan mangsa pada 2.05 petang yang memaklumkan mengenai penemuan mayat itu.

"Siasatan di tempat kejadian dengan bantuan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mendapati mayat seorang wanita Indonesia berusia awal 20-an ditemui dalam keadaan terbaring berlumuran darah.

"Mayat mangsa yang separuh bogel hanya memakai baju T itu ditemui dalam bilik di tingkat satu rumah berkenaan.

"Pemeriksaan pada badan mangsa menemui kesan tikaman di bahagian leher sebelah kiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Amar berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

Katanya, pihaknya kini sedang giat memburu suspek bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 7:52 PM