GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siraj Mohd Zaini


HAYAT seorang mak nyah berakhir dalam keadaan menyedihkan apabila dia ditemui meninggal dunia, selepas dipercayai terjun keluar dari kenderaan pelanggannya di Jalan Batu Nilam 34, Bukit Tinggi 2, Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) pada 3.43 pagi.

Menurutnya, mangsa dipercayai berusia 39 tahun dan berasal dari Sandakan, Sabah, dan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah.

"Mangsa mengalami kecederaan pada kedua-dua lutut, luka di buku lali, dan muka akibat terjatuh daripada kenderaan.

"Bedah siasat yang dijalankan pada petang semalam mendapati punca kematian adalah cedera parah pada bahagian kepala akibat terjatuh dari kenderaan yang bergerak serta tiada kesan pergelutan pada badan si mati," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shamsul Amar berkata, sepasukan anggota polis kemudiannya menangkap seorang lelaki berusia 55 tahun di sekitar daerah ini beberapa jam selepas kejadian berkenaan dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata, suspek dipercayai hendak melanggan mangsa dan mengaku terbabit dengan kejadian yang mengakibatkan kehilangan nyawa mak nyah berkenaan.

Katanya, polis turut merampas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipercayai digunakan suspek pada kejadian terbabit.

"Hasil siasatan awal, punca kejadian adalah kerana suspek tidak berpuas hati dan mendakwa mangsa mencuri telefon pintar miliknya.

"Mangsa dimarahi lelaki berkenaan selepas tidak mengaku mencuri telefon suspek, dan di pertengahan jalan, mangsa didakwa terjun dari kenderaan terbabit," katanya.

Shamsul Amar berkata, suspek ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, beliau turut berkata, tidak wujud isu kejadian itu ekoran jenayah kebencian terhadap golongan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) seperti kenyataan yang tersebar melalui media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 3:08 PM