MANGSA yang tersepit dibantu anggota bomba.
MANGSA yang tersepit dibantu anggota bomba.
Farah Suhaidah Othman

Sungai Siput: Seorang wanita berusia 58 tahun terpaksa menahan kesakitan selama 15 minit selepas kaki kanannya terperosok pada jeriji besi penutup longkang di tepi jalan berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Besar, di sini semalam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput Mohd Fauzi Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu daripada orang awam pada 12.23 tengah hari.

Katanya, pihaknya tiba seminit kemudian dan mendapati kaki kanan mangsa tersangkut pada jeriji besi bermula paras lutut.

“Wanita itu memaklumkan kakinya tersangkut selama 15 minit dan dia mengalami kesukaran untuk bangun serta berasa sakit pada bahagian yang tersepit.

“Susulan itu, kita menggunakan peralatan khas untuk membuka jeriji besi itu bagi membolehkan kaki wanita berkenaan dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd Fauzi berkata, sebaik kaki mangsa dikeluarkan, Unit Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) membuat pemeriksaan.

“Bagaimanapun, wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 4:24 AM