JOHARI melihat pingat emas dimenangi Norhasmat (dua dari kanan), semalam.
JOHARI melihat pingat emas dimenangi Norhasmat (dua dari kanan), semalam.
HM Digital

Putrajaya: Pengisytiharan kadar dividen tertinggi sejak 1997 oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tiada kaitan langsung dengan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pengumuman 6.9 peratus kadar dividen untuk Simpanan Konvensional dan 6.4 peratus bagi Simpanan Syariah hasil pelaburan dibuat KWSP di dalam dan luar negara.

“Ini masalah kita...apa yang baik dibuat oleh kerajaan, dia fikir nak pilihan raya dan kalau macam itu, kita adakan pilihan raya setiap bulan lagi bagus.

“Perkara ini tidak ada kena mengena dengan pilihan raya. Maknanya, apa yang berlaku bagus (kadar dividen tertinggi)...baguslah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada kunjungan hormat Pemenang Pingat Emas Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Myanmar, Norhasmat Abdul Aziz di pejabatnya, di sini, semalam.

Pada 10 Februari lalu, KWSP mengisytiharkan 6.9 peratus kadar dividen untuk Simpanan Konvensional bagi tahun agihan 2017, membabitkan jumlah agihan RM44.15 bilion.

Selain itu, pemilik akaun Simpanan Syariah yang mula diperkenalkan pada 8 Ogos 2016 pula menerima dividen berkadar 6.4 peratus dengan agihan RM3.98 bilion.

Dalam pada itu, Johari berkata, kadar dividen diumumkan itu adalah jumlah sebenar hasil pelaburan dibuat agensi berkenaan yang kemudian diisytiharkan kepada semua pemilik akaun KWSP.

Berhubung perkembangan ekonomi negara pada suku keempat 2017 yang merekodkan pertumbuhan 5.9 peratus, beliau menyifatkan ia prestasi membanggakan bagi Malaysia.

“Prestasi sungguh membanggakan kerana dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, Malaysia masih menunjukkan perkembangan ekonomi begitu baik.

“Justeru, perkembangan ini secara tidak langsung menunjukkan asas ekonomi negara selari dengan pelaksanaan dasar dan polisi kerajaan selama ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 9:17 AM