Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Sri Ayu Kartika Amri


AGIHAN dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu diasingkan mengikut golongan pendapatan.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, langkah itu bagi memastikan keseimbangan perolehan dividen terutama golongan berpendapatan rendah (B40).

Katanya, sebagai contoh golongan B40 perlu menerima dividen lebih tinggi berbanding kumpulan berpendapatan pertengahan (M40) dan kumpulan tertinggi (T20).

“Namun, apa yang paling penting kalau nak bagi dividen (sebelum ini diberi sama rata kepada semua orang).

“Jadi ikut pengagihan, golongan B40 adalah penerima pendapatan yang paling rendah diikuti dengan golongan M40 dan jika boleh tukar pembahagian dividen mengikut kumpulan pendapatan.

“Maksudnya, siapa yang B40 dapat lebih sikit berbanding M40 dan T20. Itu lebih baik, sudah pasti ia dapat membantu mereka yang berpendapatan rendah ini.

“Barulah cara kita ini dibuat mengikut visi kemakmuran bersama dan wawasan pembangunan bersama,” katanya kepada Bisnes Metro, kelmarin.

Menurutnya, pengumuman dividen 2019 oleh KWSP iaitu pada kadar 5.45 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.0 peratus bagi Simpanan Shariah sudah dijangka.

Beliau berkata, penurunan kadar dividen ini selari dengan kedudukan ekonomi negara di mana kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) menurun sebanyak 0.4 peratus daripada 4.7 peratus pada 2018 kepada 4.3 peratus pada 2019.

“Kadar dividen ini dipengaruhi oleh prestasi ekonomi semasa negara dan kadar dividen dipengaruhi oleh turun naik kadar pertumbuhan KDNK.

“Perbandingan antara tahun 2018 dan 2019 menunjukkan kadar penurunan dividen KWSP lebih tinggi berbanding dengan kadar penurunan KDNK.

“Kadar dividen untuk konvensional berkurangan sebanyak 0.7 peratus berbanding dengan KDNK yang hanya berkurangan sebanyak 0.4 peratus.

“Justeru, prestasi dan kadar dividen KWSP akan bertambah baik jika prestasi dan pertumbuhan ekonomi negara kembali meningkat,” katanya.

Pada Sabtu, KWSP dalam kenyataannya mengumumkan dividen 2019 pada 5.45 peratus bagi Simpanan Konvensional membabitkan agihan RM41.68 bilion manakala Simpanan Shariah 2019, 5.0 peratus dengan agihan RM4.14 bilion.

Selain itu, KWSP berkata, pihaknya menjangka tahun 2020 akan menjadi lebih mencabar berbanding 2019 dengan kesan wabak Covid-19 yang mempengaruhi kelembapan pertumbuhan ekonomi global.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 9:33 AM