Bangunan KWSP
Bangunan KWSP

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengumumkan prestasi kewangan bagi tahun 2022 pada 4 Mac ini.

Pada tahun lalu, KWSP mengumumkan dividen sebanyak 6.10 peratus bagi Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan sebanyak RM50.45 bilion dan 5.65 peratus untuk Simpanan Syariah dengan jumlah agihan RM6.27 bilion.

Kadar berkenaan lebih tinggi berbanding pada 2020, di mana dividen bagi Simpanan Konvensional sebanyak 5.20 peratus dan 4.90 peratus untuk Simpanan Syariah.

Pada 2021, KWSP mencatatkan caruman bersih negatif (caruman selepas mengambil kira pengeluaran) untuk pertama kalinya dalam tempoh 20 tahun sebanyak RM58.2 bilion, namun ia tetap teguh dan berhemat dalam strategi pelaburan jangka panjangnya, selain menyesuaikan diri terhadap cabaran dalam memastikan pulangan mampan jangka panjang.

Bagi tahun 2021, KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM67.06 bilion, di mana RM6.91 bilion diperuntukkan kepada Simpanan Syariah.

Bagi prestasi tahun 2022, KWSP mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan dalam jumlah aset pelaburannya disebabkan pengeluaran berkaitan Covid-19, termasuk pengeluaran i-Sinar Akaun 1 yang belum pernah berlaku sebelum ini berjumlah RM58.7 bilion.

Kira-kira 7.3 juta ahli KWSP telah memohon sekurang-kurangnya satu atau ketiga-tiga pengeluaran khas iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, yang secara kolektif menyaksikan RM100.9 bilion dikeluarkan daripada KWSP antara April 2020 dan Februari 2022.

Pada April tahun lalu, kerajaan sekali lagi membenarkan Pengeluaran Khas dengan jumlah maksimum RM10,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 5:55 PM