Foto hiasan
Foto hiasan
Mahanum Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan agihan dividen lebih rendah rendah pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya, namun kekal kompetitif berdasarkan situasi pasaran pelaburan yang amat mencabar pada tahun ini.

Untuk tahun 2022, pengurus dana persaraan itu dilihat masih berupaya untuk memberi dividen yang kompetitif sekitar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus dan masih kekal tinggi berbanding pengurus dana pelaburan lain, demikian kata penganalisis.

Agihan itu dijangka diumumkan pada Februari depan.

Pada 2021, KWSP mengumumkan dividen sebanyak 6.10 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.65 peratus untuk Simpanan Syariah.

Ia lebih tinggi berbanding 2020, yang mana dividen bagi Simpanan Konvensional sebanyak 5.20 peratus dan 4.90 peratus untuk Simpanan Syariah.

Secara umumnya, meskipun pertumbuhan ekonomi negara diunjurkan amat memberangsangkan pada tahun ini, namun persekitaran pelaburan dan pasaran adalah amat tidak menentu serta mencabar susulan pengaruh luaran antaranya seperti kesan konflik Ukraine-Russia, situasi inflasi dan kadar faedah yang tinggi, dan penutupan berterusan wilayah utama ekonomi China.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, dividen KWSP bagi 2022 dijangka masih berdaya saing walaupun prestasi pulangan pelaburannya dijangka bercampur-campur.

Beliau berkata, ia termasuk prestasi Bursa Malaysia, yang mana pengurus dana persaraan itu mempunyai pelbagai pegangan saham secara langsung.

Katanya, kalau dilihat indeks FBM KLCI di Bursa Malaysia telah merosot dari paras tertinggi 1,603 mata pada April kepada paras terendah 1,378 mata pada Oktober lalu berikutan ketidakstabilan politik.

"Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), indeks kembali mendaki semula dan sejajar dengan kembalinya pengukuhan ringgit berbanding dolar AS.

"Jangka dividen sekitar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus," katanya kepada BH bagi mengulas sama ada KWSP mempunyai keupayaan memberikan dividen lebih enam peratus.

Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi berkata, prestasi KWSP adalah bersamaan dengan institusi pelaburan lain yang menghadapi cabaran untuk mengekalkan pulangan pelaburan seperti tahun sebelumnya.

Beliau berkata, kesan dari pandemik Covid-19 masih dirasakan di semua sektor ekonomi dan banyak yang masih belum pulih sepenuhnya, contohnya sektor pelancongan dan runcit.

Katanya, kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) juga memberi tekanan kepada kadar KWSP sendiri, yang mana 1.0 peratus telah dinaikkan dalam tempoh kurang enam bulan dan ia juga boleh diterjemahkan sebagai tambahan dividen kepada pencarum.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, jika KWSP ingin memberi dividen 6.0 peratus untuk konvensional dan 5.7 peratus untuk Syariah, kemungkinan jumlah peruntukan bagi maksud dividen untuk 2022 adalah sekitar RM65 bilion.

Beliau berkata, jumlah itu mungkin sekitar 90 peratus daripada jangkaan pendapatan kasar KWSP.

"Oleh itu, saya melihat KWSP masih mampu memberi dividen pada kadar itu, namun ia akan mengurangkan potensi untuk KWSP mengembangkan pelaburannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 3:59 PM