Mohd Rizal Abdullah

HELAH seorang lelaki menyembunyikan 10 tiub straw mengandungi syabu di dalam tin gula-gula tidak menjadi apabila ditahan bersama rakannya di sebuah pondok di tepi Jalan Rumah Kulit Sungai Asap, di Belaga, petang kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 2 petang itu, kedua-dua lelaki masing-masing berusia lingkungan 30-an ditahan hasil risikan polis dan maklumat awam berhubungan kejadian itu.

Sumber berkata, hasil risikan, polis berjaya mengesan kedua-dua lelaki terbabit di dalam sebuah pondok dipercayai sedang melepaskan gian.

“Polis melakukan serbuan dan berjaya menahan kedua-dua suspek. Pemeriksaan menemui satu tin gula-gula di dalam poket seluar seorang lelaki yang mengandungi 10 tiub straw dipercayai syabu dianggarkan seberat 3.8 gram,” katanya.

Katanya, kedua-dua lelaki terbabit dibawa ke Balai Polis Belaga untuk tindakan lanjut. Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 5:21 PM