PENGEDAR pil kuda yang ditahan di rumah (kiri) dan antara pil kuda yang dirampas. FOTO ihsan AADK
PENGEDAR pil kuda yang ditahan di rumah (kiri) dan antara pil kuda yang dirampas. FOTO ihsan AADK
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


TAKTIK menyembunyikan pil kuda di dalam bekas gula-gula berjenama popular terbongkar selepas tiga lelaki ditahan di rumah di Kampung Baru Sungai Ular, Kuantan, kelmarin.

Dalam serbuan yang dilakukan pegawai dan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pahang pada 2.50 pagi itu, tiga lelaki berusia 23 hingga 34 tahun ditahan dan 150 pil kuda dianggarkan bernilai RM3,000 dirampas.

Sumber AADK berkata, kumpulan lelaki terbabit dipercayai menggunakan helah menyimpan pil kuda di dalam bekas gula-gula sebelum menjual kepada pelanggan mereka.

“Kami percaya ia dilakukan bagi mengaburi pihak berkuasa, sebelum ini mereka menjual pil kuda menggunakan plastik lutsinar tetapi kini ia disimpan di dalam bekas gula-gula,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut sumber lagi, tiga lelaki berkenaan dipercayai pengedar pil kuda di sekitar kawasan Gebeng, Sungai Ular dan Chendor di daerah ini.

Katanya, ketika serbuan dilakukan semua lelaki terbabit dikatakan sedang membungkus dan menyimpan pil itu di dalam bekas gula-gula sebelum cuba melarikan diri.

“Hasil risikan yang dijalankan kami percaya kumpulan ini aktif sejak enam bulan lalu. Mereka turut menjadikan rumah ini sebagai tempat pembungkusan dan penyimpanan pil kuda sebelum diedarkan kepada penagih,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Pahang Rizal Seaat ketika dihubungi mengesahkan tangkapan yang dibuat pihaknya dan berkata, kes itu kini diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 1:50 PM