DADAH yang dirampas daripada suspek. FOTO ihsan polis
DADAH yang dirampas daripada suspek. FOTO ihsan polis
Erika George


Mukah: Suri rumah berusia 23 tahun ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Mukah-Selangau kerana memiliki dadah jenis methamphetamine, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis menjalankan serbuan ke atas sebuah rumah pada jam 2.30 petang dan menahan suspek.

"Pemeriksaan menjumpai bekas gula-gula berwarna hijau dengan pita pelekat hitam yang diletakkan di meja kayu dalam rumah terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati bekas itu mengandungi tiga paket plastik lutsinar yang di dalamnya berisi ketulan kristal dipercayai syabu seberat 1.23 gram dianggarkan bernilai RM150.

"Suspek dan barang rampasan dibawa ke Pejabat BSJN IPD Mukah bagi membantu siasatan lanjut.

"Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia negatif pengambilan dadah," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Jika disabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 12:23 PM