TERTUDUH (tengah) dipenjara enam tahun selepas mengaku merompak seorang wanita, enam tahun lalu. FOTO Ihsan Pembaca
TERTUDUH (tengah) dipenjara enam tahun selepas mengaku merompak seorang wanita, enam tahun lalu. FOTO Ihsan Pembaca
Muhamaad Razis Ismail


PADAH merompak kereta dan wang tunai RM3,000 milik seorang wanita, seorang buruh dijatuhi hukuman penjara enam tahun di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Zamli Mamat, 29, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Tertuduh didakwa merompak sebuah Proton Iswara milik wanita berusia 51 tahun yang mengandungi pelbagai barangan berharga termasuk wang tunai RM3,000 di Kampung Jerus, Selising, Pasir Puteh pada 12.30 tengah hari, 4 November 2012.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, ketika mangsa memperlahankan kenderaannya kerana terdapat sekatan jalan raya tertuduh secara tiba-tiba masuk ke dalam kereta sebelum mengugut untuk menikam wanita itu sekiranya menjerit.

Tertuduh terus memandu kereta mangsa hingga ke arah Kota Bharu dan menurunkannya di tepi jalan sebelum melarikan kereta terbabit bersama wang tunai itu.

Terdahulu, tertuduh menerusi peguam Siti Syaerah Meor Zul-kefli Auni merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana perlu menyara keluarga.

"Isteri tertuduh melahirkan anak ketiga mereka ketika tertuduh ditahan reman selepas ditangkap pada 7 November tahun lalu," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias memohon tertuduh dikenakan hukuman sebagai pengajaran kepadanya dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 6:48 PM