ANGGOTA polis yang dituduh melakukan rompakan berkumpulan keluar dari mahkamah. FOTO Harun Yahya
ANGGOTA polis yang dituduh melakukan rompakan berkumpulan keluar dari mahkamah. FOTO Harun Yahya
Harun Yahya


DUA anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Sibu, hari ini, atas pertuduhan merompak secara berkumpulan, Oktober lalu.

Tertuduh, Mohd Redzuan Kamaruddin, 34, dan Mohd Sham Lamunir, 50, didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka melakukan rompakan berkumpulan terhadap Muhammad Ismail Zamhari dan Mohamad Syukran Suraimie pada 4.30 petang, 23 Oktober lalu.

Dalam kejadian itu, kedua-dua tertuduh yang menaiki kereta peronda polis menahan kereta Proton Persona dinaiki mangsa.

Tertuduh kemudiannya melarikan wang tunai RM750 dan 10 karton rokok seludup milik mangsa.

Hakim Caroline Bee Majanil membenarkan ikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin terhadap tertuduh dan mahkamah menetapkan 7 Januari tahun depan sebagai tarikh pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sangari Ponam, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Augustine Liom.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 6:56 PM