Tertuduh dipenjara seminggu dan denda RM15,000 di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hari ini. FOTO  Zaman Huri Isa
Tertuduh dipenjara seminggu dan denda RM15,000 di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hari ini. FOTO Zaman Huri Isa
Muhamaad Razis Ismail


PENOLONG jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dipenjara seminggu dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hari ini, selepas didapati bersalah terhadap tuduhan menerima rasuah RM3,000, lima tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Bache menjatuhkan hukuman itu terhadap Khafasliza Shafii, 45, selepas membenarkan permohonan rayuan pihak pendakwaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula hari ini.

Ahmad bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dengan jaminan RM10,000.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM3,000 daripada Wan Zubaidah Wan Abdullah melalui akaun sebuah bank di Jalan Sultan Yahya Petra pada 4.38 petang, 16 Disember 2012.

Pemberian wang itu didakwa mempunyai hubungan dengan tugas rasmi tertuduh sebagai pegawai penyelia bagi kerja kecil menaik taraf sistem saliran serta kerja berkaitan di Kampung Panggung, Machang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahidah Muslimah Roslan manakala tertuduh diwakili peguam Zainal Abidin Mustaffa.

Pada 15 Disember 2015, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan tertuduh terhadap kesalahan sama sebelum pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 12:08 PM