FOTO hiasan
FOTO hiasan
Siti Nur Mas Erah Amran


ASPEK kesihatan yang ditekankan dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan untuk tempoh lima tahun bakal menjamin kesejahteraan segenap lapisan masyarakat apabila konsep Pasukan Doktor Keluarga Percuma akan ditawarkan khusus buat penghidap penyakit kronik.

Selain itu, perkhidmatan kesihatan luar bandar menerusi Klinik 1Malaysia (K1M) juga akan diperluaskan bagi membantu meringankan beban pesakit untuk mendapatkan rawatan yang berkualiti dengan bayaran RM1.

Sejak ditubuhkan kira-kira lapan tahun lalu, antara kemudahan disediakan termasuk rawatan asas, rawatan penyakit kronik serta kesihatan ibu dan anak.

Antara rawatan disediakan adalah penyakit demam, batuk, selesema selain prosedur rawatan cucian luka, ujian makmal ringkas seperti ujian glukos darah kapilari dan ujian air kencing menggunakan 'urine dipstick'.

Rawatan penyakit kronik membabitkan rawatan susulan kes stabil, penyakit kronik dan rawatan kes baru diabetes dan hipertensi turut disediakan di K1M.

Selain itu, pembangunan hospital dan klinik kesihatan baharu akan dipertingkatkan dengan penambahan anggota Pasukan Medik Bergerak manakala lebih banyak poliklinik di kem tentera bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Terbaru, Hospital Veteran ATM pertama di Malaysia bakal dibina di Ipoh dapat dimanfaatkan lebih 300,000 veteran tentera yang berpeluang mendapatkan rawatan setanding hospital veteran di negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain dan Australia.

Hospital berkenaan yang menelan kos lebih RM500 juta akan dibina di atas tanah seluas 28,500 hektar milik ATM di Kem Gua Permai, Tambun yang akan berfungsi sebagai Perkampungan Kesihatan Veteran.

Antara kemudahan yang bakal disediakan adalah poliklinik pakar geriatrik iaitu bidang kepakaran pesakit warga emas serta kepakaran lain seperti jantung dan respiratori, urologi, neuropsikiatri, perkhidmatan rehabilitasi, dialisis serta pusat jagaan bagi veteran ATM yang kurang upaya.

INFO

- Memberi pesara perkhidmatan bantuan kesihatan seperti hemodialisis, dana bantuan rawatan dan lain-lain.

- Menyediakan pemeriksaan kesihatan rutin tanpa syarat di klinik-klinik kesihatan kerajaan bagi anak muda.

- Menyediakan modul khusus untuk intervensi awal keluarga yang mempunyai anak autisme dengan PERMATA.

- Membuka keahlian kelab khas dan program komuniti terpilih untuk golongan pesara dan warga emas.

- Meningkatkan kadar pelepasan tahunan cukai pendapatan individu bagi kos perubatan ibu bapa.

- Memperkemas perkhidmatan kesihatan dan pergigian kepada warga emas dan pesakit terlantar melalui lawatan rumah ke rumah.

- Mempermudah sistem urusan kesihatan melalui kaedah dalam talian.

- Menyediakan perkhidmatan pembuangan sampah yang lebih efsien di kawasan-kawasan luar bandar.

- Membina lebih banyak taman poket di bandar-bandar seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 10:24 PM