Muhaamad Hafis Nawawi

POLIS Kedah sudah menerima enam laporan polis setakat hari ini dibuat bakal jemaah umrah yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah Superintendan Chan Teck Paing berkata, laporan polis itu dibuat mangsa di KLIA dan kini menjalankan siasatan lanjut.

Menurutnya, anggaran kerugian dialami mangsa sebanyak RM7,000 setiap mangsa dan polis baru menerima enam laporan yang dibuat mereka setakat ini.

“Kita akan menyiasat terlebih dulu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan setakat ini belum ada tangkapan dibuat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Portal Harian Metro kelmarin melaporkan seramai 15 bakal jemaah umrah terkandas di KLIA, Sepang.

Jemaah terbabit tiba di KLIA dari Perak, Kedah dan Pulau Pinang selepas dimaklumkan akan berlepas 7 malam menaiki pesawat Emirates Airline namun hampa selepas nama mereka tiada dalam senarai penumpang.

Difahamkan, pakej ditawarkan antara RM7,000 ke RM8,000 untuk seorang selain pakej umrah membabitkan beberapa orang untuk keluarga.

Berita berkaitan

'Tak baik tipu orang nak beribadah'

Berita berkaitan

'Syarikat tak berdaftar rupanya...'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 12:18 PM