Siti A'isyah Sukaimi


TIMBALAN pengerusi sebuah syarikat dan seorang pengarah eksekutif kanan, masing-masing bergelar Datuk disambung reman lima hari bagi membantu siasatan berhubung pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Perintah tahanan reman ke atas mereka dikeluarkan oleh Majistret Khir Nizam Jemaridi Mahkamah Majistret Putrajaya bermula hari ini sehingga 19 Januari.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, kedua-dua individu terbabit dibawa ke mahkamah jam 9.10 pagi dan dilihat memakai baju lokap warna jingga manakala tangan mereka bergari.

Pada 9 Januari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu beberapa pejabat agensi kerajaan di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown, Pulau Pinang yang mempunyai kaitan dengan projek pembinaan terowong dasar laut.

Turut diserbu dalam operasi sekitar 9 pagi itu adalah beberapa syarikat berkaitan yang beroperasi di sekitar negeri berkenaan.

Salah seorang antara dua individu bergelar Datuk dibawa oleh pegawai SPRM untuk mohon disambung reman. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Salah seorang antara dua individu bergelar Datuk dibawa oleh pegawai SPRM untuk mohon disambung reman. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Difahamkan, SPRM menyerbu pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Tanah dan Galian serta Jabatan Penilaian di KOMTAR dan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri di Jalan Sungai Pinang.

Selain itu, pejabat syarikat pemaju Ewin-Zenith Sdn Bhd, 555 Capital Sdn Bhd dan Konsortium Zenith di sekitar negeri itu.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd yang terdiri daripada beberapa syarikat.

Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaannya yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran membabitkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 12:48 PM