Hayati Ibrahim


PENGARAH Eksekutif kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd bergelar Datuk direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Permohonan reman ke atas lelaki berusia 59 tahun dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil membenarkan individu itu direman mulai hari ini sehingga Isnin depan.

Lelaki itu ditahan pada 8.45 malam tadi ketika hadir memberi kenyataan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, lelaki terbabit tiba di mahkamah pada 9.50 pagi ini dengan berbaju lokap SPRM berwarna jingga.

Peguam yang mewakili individu berkenaan, Hamidi Mohd Noh berkata, anak guamnya ditahan malam tadi untuk membantu siasatan, dan beliau memberi kerjasama sepenuhnya.

"SPRM memohon tahanan reman selama tujuh hari, bagaimanapun majistret hanya membenarkannya direman selama enam hari," katanya.

Semalam, SPRM menyerbu beberapa pejabat agensi kerajaan di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown, Pulau Pinang yang mempunyai kaitan dengan projek pembinaan terowong dasar laut terbabit.

Turut diserbu dalam operasi sekitar 9 pagi itu adalah beberapa syarikat berkaitan yang beroperasi di sekitar negeri berkenaan.

LELAKI bergelar Datuk direman enam hari bermula hari ini berhubung kes projek pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
LELAKI bergelar Datuk direman enam hari bermula hari ini berhubung kes projek pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Difahamkan, SPRM menyerbu pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Penilaian di KOMTAR dan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri di Jalan Sungai Pinang, Georgetown.

Selain itu, pejabat syarikat pemaju Ewin-Zenith Sdn Bhd, 555 Capital Sdn Bhd dan Konsortium Zenith turut diserbu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki dilaporkan berkata, serbuan dibuat bagi membantu siasatan berkaitan projek mega itu yang akan menghubungkan Persiaran Gurney dengan Bagan Ajam di Butterworth.

Beliau dipetik berkata, pihaknya akan meneliti dokumen dirampas bagi memastikan siasatan lebih menyeluruh dapat dijalankan.

Menurut laporan, serbuan dibuat berdasarkan bukti baru berkaitan projek pembinaan terowong dasar laut yang dikemukakan kepada SPRM.

Sabtu lalu, Parti Cinta Malaysia (PCM) membuat laporan kedua dan mengemukakan bukti baru kepada SPRM berhubung projek terowong dasar laut dirangka kerajaan negeri Pulau Pinang.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd yang terdiri daripada beberapa syarikat.

Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaannya yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran membabitkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 12:00 PM