Mohd Husni Mohd Noor


SEORANG perunding kejuruteraan berusia 50 tahun direman lima hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini, bagi membantu siasatan berhubung projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil selepas membenarkan permohonan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek wanita itu ditahan SPRM 6.10 petang semalam ketika hadir memberi keterangan berhubung kes berkenaan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Difahamkan, wanita itu perunding kanan kepada sebuah syarikat yang bertanggungjawab ke atas projek terbabit.

SUSPEK wanita ditahan SPRM semalam dan kini direman bagi bantu siasatan kes terowong dasar laut. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
SUSPEK wanita ditahan SPRM semalam dan kini direman bagi bantu siasatan kes terowong dasar laut. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.

Suspek juga dipercayai terbabit dalam penyediaan dokumen tuntutan palsu bagi kajian kebolehlaksanaan tiga jalan utama dan terowong di negeri berkenaan yang bernilai kira-kira RM305 juta kepada kerajaan negeri Pulau Pinang.

Setakat hari ini, tiga individu sudah direman SPRM bagi membantu siasatan berhubung kajian yang menelan kos RM305 juta itu.

Sebelum ini, seorang pengerusi dan timbalan pengerusi syarikat berasingan direman selama 10 hari sejak 10 Januari lalu, bagi membantu siasatan projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang itu.

Bagaimanapun, kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan RM200,000 setiap seorang, pada Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 12:30 PM