Kalidevi Mogan Kumarappa


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan perunding kejuruteraan yang terbabit menjalankan kajian projek terowong dasar laut Pulau Pinang, hari ini.

Difahamkan, wanita itu bertindak selaku perunding kanan kepada sebuah syarikat yang bertanggungjawab ke atas projek itu.

Sumber berkata, wanita berusia 50 tahun itu ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 6.10 petang, hari ini.

"Suspek dipercayai terbabit dalam penyediaan dokumen tuntutan palsu bagi kajian kebolehlaksanaan tiga jalan utama dan terowong di negeri berkenaan yang bernilai kira-kira RM305 juta kepada kerajaan Pulau Pinang.

"SPRM juga sedang menyiasat sama ada individu lain turut bersubahat dalam pemalsuan dokumen itu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut.

Dengan penahanan terbaru itu, seramai tiga individu sudah ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kajian yang menelan kos RM305 juta itu.

Sebelum ini, seorang pengerusi dan timbalan pengerusi syarikat berasingan direman selama 10 hari sejak 10 Januari lalu, bagi membantu siasatan projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang itu.

Kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan RM200,000 setiap seorang, pada Sabtu lalu.

Berita berkaitan

Dua Datuk bebas dengan jaminan

Terowong dasar laut: Reman dua Datuk disambung [METROTV]

SPRM mula bertindak

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 9:22 PM