BERNAMA

KETUA Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang di Georgetown, hari ini bagi memberi keterangan berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Pemimpin utama negeri itu tiba pada 8.55 pagi dan berada di bangunan terbabit selama empat jam 15 minit.

Sejurus keluar dari bangunan SPRM pada 1.15 tengah hari, Chow yang dikerumuni pemberita berkata, fokus keterangan beliau kepada SPRM ialah berhubung projek terowong dasar laut.

"Saya telah memberi keterangan kepada SPRM sejak 9 pagi dan fokus adalah terhadap projek terowong serta pengesahan akan keputusan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) terhadap projek ini (terowong dasar laut)," katanya, menambah tiada sebarang dokumen diserahkan kepada SPRM.

Ketika ditanya tentang tempoh yang agak lama diambil beliau untuk memberi keterangan, Chow berkata, seperti kelaziman pertanyaan dimulai dengan latar belakang beliau dan disusuli tentang bidang kuasanya sebagai Exco.

Turut dilihat memasuki bangunan SPRM ialah bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Farizan Darus, bekas Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan Pulau Pinang Danny Law Heng Kiang serta bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit Lydia Ong Kok Fooi.

Semalam, tiga Exco negeri iaitu Jagdeep Singh Deo, Chong Eng dan Phee Boon Poh hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan berhubung projek mega terbabit membabitkan anggaran kos keseluruhan RM6.3 bilion.

Pada Jumaat lalu, dua pasukan daripada SPRM mengambil keterangan beberapa petugas di pejabat Timbalan Ketua Menteri II Prof Dr P Ramasamy dan pejabat Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir Pulau Pinang Zairil Khir Johari.

Sebelum ini, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Jeffrey Chew yang direman selama empat hari mulai 1 Julai lalu oleh SPRM untuk membantu siasatan berhubung projek itu, dibebaskan dengan jaminan SPRM pada Sabtu lalu.

KON Yeow (dua dari kanan) mendengar penjelasan dari  Pengarah Projek Jalan Pintasan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu  ke Ayer Itam, Ir Nasfiza Mokhtar (dua dari kiri). FOTO Mikail Ong
KON Yeow (dua dari kanan) mendengar penjelasan dari Pengarah Projek Jalan Pintasan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam, Ir Nasfiza Mokhtar (dua dari kiri). FOTO Mikail Ong

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 7:41 PM