Siti A'isyah Sukaimi


PERUNDING kejuruteraan dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjumlah RM208,000 selepas remannya tamat hari ini bagi siasatan kes pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Majistret Nik Muhammad Azrin Hafiz Nik Mahmood membenarkan pembebasan dan jaminan terhadap individu berusia 50 tahun itu di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Wanita terbabit sebelum ini ditahan 23 Januari lalu, dan direman lima hari bagi membantu siasatan projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Menurut laporan media sebelum ini, individu itu difahamkan adalah perunding kanan sebuah syarikat yang bertanggungjawab dalam projek itu.

Wanita itu dipercayai terbabit dalam penyediaan dokumen tuntutan bagi kajian kebolehlaksanaan tiga jalan utama dan terowong di negeri berkenaan yang bernilai kira-kira RM305 juta kepada kerajaan negeri Pulau Pinang.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 4:19 PM