NAPIAH  menunjukkan paras air yang naik di rumahnya di Kampung Batu 10.
NAPIAH menunjukkan paras air yang naik di rumahnya di Kampung Batu 10.
Mohd Hasbi Sidek

Cheras: “Setiap kali banjir berlaku, kami diberikan bantuan RM200 bagi setiap keluarga. Bukan tidak bersyukur namun adalah usaha mencegah banjir lebih utama dari terus berulang,” luah mangsa banjir, Napiah Haron, 49.

Dalam kejadian petang kelmarin, seramai 46 mangsa banjir yang tinggal di kawasan perkampungan Batu 10, Jalan Cheras-Kajang di sini, terpaksa dipindahkan akibat dilanda banjir.

Napiah berkata, dia tidak mempertikaikan bantuan berkenaan, malah amat berterima kasih kepada pihak yang sudi menghulurkan bantuan, namun pihak yang bertanggungjawab sepatutnya memikirkan kaedah penyelesaian supaya banjir tidak berulang.

‎“Banjir di Kampung Batu 10 dan kawasan sekitar sini tiada musim. Kadang-kadang dalam masa sebulan kami terpaksa menghadapi dua atau tiga kali banjir apabila hujan lebat berlaku.

‎“Jika sebelum ini, kawasan di Hulu Langat akan banjir terlebih dulu namun kini Kampung Batu 10 tetap dinaiki air,” katanya.

ANTARA rumah yang terjejas bah di Batu 10, Cheras.
ANTARA rumah yang terjejas bah di Batu 10, Cheras.

Menurutnya, pembangunan dan keadaan sistem perparitan serta sungai berhampiran kampung itu gagal menampung jumlah air hujan dari kawasan taman perumahan dan projek lain berhampiran.

‎“Kampung ini dikelilingi projek pembangunan contohnya MRT, Bandar Mahkota Cheras, Bandar Tun Hussien Onn dan sebagainya. Namun, kita boleh lihat sendiri sistem perparitan di kampung ini amat menyedihkan.

‎“Sudah puas saya menyuarakan masalah ini kepada pihak bertanggungjawab, namun tiada tindakan sewajarnya diambil.

“‎Setiap kali nampak langit gelap, hati kami akan gundah gulana. Cuba letakkan diri anda di tempat kami.

‎“Kepada mereka yang terbabit sama ada kerajaan negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atau pihak berkuasa tempatan (PBT), dengarlah luahan kami ini,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 4:03 AM