HUJAN lebat lebih tiga jam  menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Seremban dilanda banjir kilat.
HUJAN lebat lebih tiga jam menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Seremban dilanda banjir kilat.
Khairul Najib Asarulah Khan

Seremban: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan mengenal pasti punca banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di sekitar negeri ini, kelmarin.

Pengarahnya, Rozman Mohamad berkata, antara kawasan dinaiki air adalah bandar Seremban, Kampung Sungai Machang Hilir dan Kampung Chennah, Jelebu.

Katanya, hujan lebat dengan taburan 97 milimeter menyebabkan bandar ini dinaiki air hingga paras 0.3 meter pada jam 5 petang.

“Ini menyebabkan sistem perparitan sedia ada tidak mampu menampung dan air melimpah namun surut selepas hujan berhenti setengah jam kemudian.

“Di Kampung Sungai Machang Hilir, punca banjir dikenal pasti disebabkan Sungai Lenggeng cetek akibat pemendapan.

“Kami melantik kontraktor mengatasi masalah itu dan ia mengambil masa tiga minggu untuk disiapkan,” katanya ketika dihubungi semalam.

ANGGOTA bomba menggunakan pam untuk menyedut air bahagian bawah Wisma UMNO Seremban.
ANGGOTA bomba menggunakan pam untuk menyedut air bahagian bawah Wisma UMNO Seremban.

Menurut Rozman, di Kampung Chennah pula, taburan hujan 108 mililiter ditambah sistem saliran tersumbat menyebabkan air naik secara mendadak.

“Sistem saliran terhalang akibat pembuangan sampah dan sisa pertanian. Namun pembersihan dijalankan selepas banjir surut pada hari sama.

“JPS mengambil langkah drastik seboleh-bolehnya mengelak bencana ini melanda pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 8:34 AM