MOHD Zulfakri Mohd Yunos mengangkat tilam  di kawasan rumahnya di Kampung Melayu Ampang, semalam.
MOHD Zulfakri Mohd Yunos mengangkat tilam di kawasan rumahnya di Kampung Melayu Ampang, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin dan Fazrik Kamarudin dan Faris Fuad


KUALA LUMPUR: “Air banjir naik setinggi hampir 1 meter dalam tempoh kurang sejam. Tiada apa boleh dilakukan selain berpindah,” ujar mangsa banjir, Zainuri Ahmad, 44, yang mendiami Kampung Datuk Keramat, di sini.

Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, dia bersama lima ahli keluarga serta
13 penduduk lain ditempatkan di Dewan Persatuan Penduduk Datuk Keramat, di sini, susulan bencana yang berlaku.

“Paras banjir naik mendadak menyebabkan kami akur dengan arahan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) supaya berpindah memandangkan ibu mentua tidak sihat akibat sakit
di bahagian kaki.

“Malah, tiada tempat kering di dalam rumah untuk kami tidur selepas air surut
(semalam) menyebabkan kami terpaksa menumpang teduh di dewan ini,” katanya.

Zainuri yang juga pemandu di sebuah syarikat swasta berkata, kejadian banjir kilat sering berlaku di kampung berkenaan ekoran sistem perparitan tersumbat selain pam air ke sungai tidak berfungsi.

“Sejak saya tinggal di kampung ini pada tahun 1999, sudah kerap kawasan ini dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat. Kali terakhir banjir berlaku pada bulan lalu.

“Sudah pelbagai usaha dilakukan bagi menyelesaikan masalah ini, namun hingga kini keadaan ini (banjir) masih tidak dapat diselesaikan pihak berkaitan,” katanya.

ROHANI  Ambiah mengumpulkan sampah di depan gerainya.
ROHANI Ambiah mengumpulkan sampah di depan gerainya.

Sementara itu, seorang penduduk di Taman Melur, Ampang, Mohd Rapor Ramli, 63, hujan lebat sejak jam 4 petang kelmarin, mengakibatkan air naik secara mendadak hingga memasuki beberapa rumah di sekitar perumahan itu.

“Hanya beberapa minit saja, air sudah naik paras buku lali di dalam rumah.

“Saya dan anak tidak sempat mengalihkan perkakas menyebabkan ada barangan seperti kabinet dan permaidani ditenggelami air,” katanya.

Sementara itu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mewujudkan skuad bencana khas dianggotai
93 anggota DBKL bagi menghulurkan bantuan menyelamat mangsa banjir
di sekitar ibu negara.

Pengarah Jabatan Penguatkuasa DBKL, Azman Mahmood berkata, skuad penyelamat itu terdiri daripada kakitangannya selain dari Jabatan Kesihatan dan Landskap DBKL yang kini berada dalam keadaan siap siaga.

“Pihak penguatkuasaan DBKL akan fokus dari segi proses menyelamat dan memindahkan mangsa
ke tempat yang selamat.

“Anggota dari bahagian kesihatan akan memeriksa keadaan mangsa, manakala kakitangan Jabatan Landskap DBKL akan menangani isu pokok tumbang.

“Banjir kerap kali berlaku kerana sistem perparitan yang kurang berkesan. Namun dalam hal itu, maklumat lanjut perlu dirujuk dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur (Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata bilik gerakan Jabatan Penguatkuasaan DBKL di Jalan Tun Razak, di sini akan beroperasi selama 24 jam sebagai kaunter pertanyaan lanjut dan aduan masyarakat terhadap isu berbangkit.

“Anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut berkerjasama dengan DBKL dalam hal ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 7:57 AM