KEADAAN Kampung Sungai Jernih, Kajang dinaiki air setiap kali hujan lebat selama lebih 30 minit. FOTO NSTP
KEADAAN Kampung Sungai Jernih, Kajang dinaiki air setiap kali hujan lebat selama lebih 30 minit. FOTO NSTP
Fazrik Kamarudin

Kajang: Berdepan kesusahan dan kesengsaraan akibat masalah banjir selama 10 tahun membuatkan lebih 1,500 penduduk Kampung Sungai Jernih, di sini, berang dengan apa disifatkan sebagai janji kosong pihak berkenaan.

Apatah lagi selepas berpuluh aduan dibuat, masih belum ada sebarang tindakan proaktif diambil sehingga ada penduduk mulai bosan dan muak dengan pelbagai alasan diberikan.

Bukan mahu masalah itu hilang sekelip mata, namun apa yang dituntut adalah penyelesaian dan tindakan bagi membolehkannya diatasi segera.

Berstatus sebagai antara penempatan terawal di Kajang, kampung sudah berusia lebih 100 tahun itu didakwa tertinggal dalam arus pembangunan pesat di sekeliling, sekali gus berdepan banjir kilat setiap kali hujan lebat akibat pengaliran air tidak terkawal kesan pembangunan tidak sekata.

Ketua Kampung Sungai Jernih Musa Ahmad, 58, berkata, masalah banjir mula menghantui penduduk sejak 2008 dipercayai berlaku atas beberapa faktor.

“Antaranya, Sungai Langat yang tidak mampu menampung air apabila berlaku pembangunan di sekitar Kajang, sistem perparitan gagal berfungsi dengan baik dan kurangnya penyelenggaraan longkang,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, kawasan sekitar yang pesat dibangunkan ketika itu adalah seperti projek perumahan di sekitar Saujana Impian, Saujana Damai dan projek pembinaan depot serta stesen Transit Aliran Massa (MRT).

“Sebelum ini, walaupun kampung kami terletak bersebelahan Sungai Jernih, amat jarang berlaku masalah banjir, kalau banjir pun, disebabkan hujan tidak berhenti selama lebih tiga hari.

“Pelbagai aduan sudah dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), namun sehingga kini langsung tiada tindakan diambil bagi mengelak kampung kami dinaiki air.

“Kalau hujan 30 minit air akan naik hampir satu meter. Kalau hujan berlarutan sehingga satu jam, air akan mencecah 1.5 meter,” katanya.

PENDUDUK  Kampung Sungai Jernih menunjukkan paras air yang naik ke rumahnya. FOTO NSTP
PENDUDUK Kampung Sungai Jernih menunjukkan paras air yang naik ke rumahnya. FOTO NSTP

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Jernih Shahrizan Abu Basar, 51, berkata, mustahil pihak berkuasa tidak mengetahui masalah dihadapi mereka.

“Kami minta segera tubuhkan pasukan dianggotai pakar untuk mencari penyelesaian isu banjir ini. Cari punca sebenar, kemudian cadangkan tindakan proaktif dan komprehensif, bukan hanya beri pelbagai alasan setiap kali isu ini dibangkitkan penduduk.

“Kami bukan pakar, namun kebanyakan penduduk mencadangkan satu tebatan banjir segera dibina, selain mendalamkan Sungai Langat dan pembinaan sistem perparitan lebih tersusun dengan memahami cabang serta aliran air di Sungai Jernih,” katanya.

Dalam pada itu, pemandu bas, Hamir Ahmad, 53, berkata kerugian ditanggung akibat banjir sejak 10 tahun lalu sudah mencecah RM30,000.

“Dulu, ada satu kawasan padang menjadi kawasan takungan hujan, apabila tanah itu diambil untuk projek MRT, kampung kami pula menjadi tempat takungan air setiap kali hujan.

“Kami tidak mahu masalah ini berlarutan sehingga menyebabkan kehilangan nyawa, syukur sehingga hari ini tiada korban akibat banjir di kampung ini,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk enggan dikenali berkata, dia sudah muak dengan pampasan dan wang sagu hati diberikan setiap kali berlaku banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 9:31 AM