Rizanizam Abdul Hamid


MASALAH banjir kilat dan serangan haiwan berbisa yang menghantui lebih 5,000 penduduk Kampung Pantai 1 dan 2, Tengkera dan sekitarnya di sini, sejak lebih 12 tahun lalu kini berakhir.

Ia berikutan langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang proaktif menyelesaikan masalah sistem perparitan kawasan itu hanya dalam tempoh tiga bulan sekali gus menamatkan kesengsaraan penduduk sejak lebih dua dekad lalu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tengkera, Ahmadsha Mohd Ishaque berkata, sebelum ini, penduduk khususnya di Kampung Pantai 1 dan Kampung Pantai 2 sering hidup dalam keresahan berpunca daripada sistem parit tanah selebar 2.4 meter di kampung berkenaan.

LOW (dua dari kiri) diiringi Ahmadsha (kanan) melawat kawasan perparitan dan semak-samun yang telah dibersihkan di Tengkera Pantai Satu, Kampung Beting, Tengkera.
LOW (dua dari kiri) diiringi Ahmadsha (kanan) melawat kawasan perparitan dan semak-samun yang telah dibersihkan di Tengkera Pantai Satu, Kampung Beting, Tengkera.

“Sebelum ini, kawasan rizab parit tanah sepanjang 1.2 kilometer di antara projek tambak laut dan kampung dipenuhi semak-samun akibat tidak diselenggara sejak 12 tahun lalu sehingga ia menjadi sarang haiwan berbisa.

“Lebih buruk apabila parit tanah yang tidak diselenggara ini tidak dapat berfungsi mengalirkan air hujan sekali gus mengakibatkan kawasan ini kerap berlaku banjir kilat pada paras 0.3 hingga 0.6 meter,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di sini.

Mengulas lanjut, Ahmadsha bagaimanapun bersyukur dengan tindakan pantas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong yang berjaya membantu rakyat menyelesaikan masalah itu hanya dalam tempoh tiga bulan.

ABDUL Rahman
ABDUL Rahman

Sementara itu, penduduk Kampung Pantai 1, Abdul Rahman Mohammad, 53, berkata, berita itu menggembirakannya lapan sekeluarga yang selama ini hidup dalam ketakutan kerana rumah sering dimasuki haiwan berbisa.

“Selama 12 tahun kawasan parit ini dipenuhi semak samun, haiwan seperti ular dan biawak sering memasuki rumah membuatkan kehidupan kami lapan beranak sering ketakutan.

“Pintu rumah juga terpaksa ditutup sepanjang masa untuk mengelakkannya dimasuki haiwan berbisa.

“Tidak cukup dengan itu, masalah banjir kilat juga kerap berlaku apabila hujan lebat sekitar 30 hingga 40 minit air yang akan mengakibatkan banjir di dalam rumah,” katanya.

MOHAMAD Ali
MOHAMAD Ali

Bagi Mohamad Ali Ahmad, 67, sebelum ini, rumahnya pernah dimasuki biawak dari kawasan semak-samun parit di belakang kediamannya.

“Mujurlah ketika itu saya berhati-hati dengan melihat dahulu lubang tandas, bayangkan jika anak atau cucu-cucu masuk ke dalam tandas ketika itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 6:10 AM