ANTARA wanita warga Vietnam yang ditahan ketika menunggu pelanggan.
ANTARA wanita warga Vietnam yang ditahan ketika menunggu pelanggan.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Petaling Jaya: Tawar promosi luar biasa dengan potongan harga hampir 50 peratus. Itu antara tarikan istimewa diberikan sebuah pusat urutan yang menawarkan khidmat seks wanita Vietnam.

Premis urutan refleksologi yang terletak di PJS 8 di sini, dikesan menawarkan harga pakej semurah RM150 bagi khidmat urutan dan seks berbanding hampir RM300 di premis lain.

Aktiviti maksiat itu bagaimanapun dibongkar anggota Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hasil serbuan jam 10.45 malam tadi.

Pegawai Turus D7 IPK Selangor Deputi Superintendan Norhizam Bahaman berkata, semua wanita berusia lingkungan 25 hingga 39 tahun ditahan ketika menunggu pelanggan di ruang tamu premis.

“Pemeriksaan mendapati ada antara wanita Vietnam terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.

“Sebahagian mereka didapati melanggar syarat permit yang ditetapkan Jabatan Imigresen iaitu kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,”katanya.

Norhizam berkata, sindiket pelacuran terbabit mengenakan bayaran kira-kira RM150 untuk pakej urutan serta hubungan seks kepada pelanggannya.

“Polis merampas kondom serta wang tunai RM132.

“Semua wanita serta penjaga terbabit ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan iaitu terbabit kegiatan pelacuran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 3:53 AM