ANTARA wanita warga asing yang disyaki menjalankan kegiatan pelacuran ditahan dalam serbuan di dua premis di kawasan apartmen kos rendah di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, semalam.
ANTARA wanita warga asing yang disyaki menjalankan kegiatan pelacuran ditahan dalam serbuan di dua premis di kawasan apartmen kos rendah di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, semalam.
Samadi Ahmad

Putrajaya: Misteri wanita seksi sering dilihat berkeliaran di dua rumah merah terletak di Jalan Pudu, Kuala Lumpur terbongkar apabila kediaman itu dikesan dihuni 12 pelacur warga asing.

Kegiatan maksiat dilakukan di premis itu terbongkar selepas sepasukan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu dan menahan semua suspek jam 3.30 petang semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata, seramai 12 wanita pekerja seks

berusia antara 20 hingga 40 tahun diberkas.

Menurutnya, premis berhampiran pangsapuri kos rendah itu disyaki menjalankan kegiatan pelacuran sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Hasil risikan mendapati premis itu dikunjungi pelanggan membabitkan warga tempatan dan warga asing. Pelacur terbabit menawarkan pakej perkhidmatan seks serendah RM60 bagi setiap langganan.

"Ketika serbuan dilakukan, wanita warga asing dan pelanggan cuba meloloskan diri namun berjaya diberkas berikutan semua jalan keluar sudah dikepung," katanya.

Menurutnya, modus operandi kegiatan itu adalah pelanggan akan berjumpa penjaga pintu dan dibawa ke premis itu bagi tujuan memilih pasangan."

"Warga asing yang ditahan membabitkan lapan wanita warga Vietnam, empat wanita warga Indonesia dan seorang lelaki warga Vietnam.

"Dua lelaki tempatan berperanan sebagai penjaga pintu dan enam lelaki warga tempatan (pelanggan pelacur) turut ditahan," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, kegiatan pelacuran ini terbahagi kepada dua shif iaitu shif pagi bermula dari jam 7 pagi sehingga jam 3 petang manakala shif petang bermula jam 3 petang hingga jam 9 malam.

"Kebiasaannya seorang pelacur mampu melayan sehingga 14 pelanggan bagi satu shif.

"Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 4:36 PM