SEORANG mangsa mengangkat tangan selepas diselamatkan daripada runtuhan bangunan di George, Afrika Selatan. FOTO Reuters.
SEORANG mangsa mengangkat tangan selepas diselamatkan daripada runtuhan bangunan di George, Afrika Selatan. FOTO Reuters.
Bernama-Xinhua

Cape Town: Angka kematian dalam runtuhan bangunan di Afrika Selatan meningkat kepada 16 orang, dengan 36 pekerja binaan masih terperangkap di bawah runtuhan, kata pihak berkuasa pada Ahad, lapor Xinhua.

Bangunan bertingkat yang sedang dalam pembinaan runtuh tengah hari Isnin di bandar pesisir George, yang terletak kira-kira 400 kilometer di timur Cape Town di wilayah Western Cape. Punca runtuhan masih dalam siasatan.

Ketika usaha menyelamat dan pemulihan diteruskan sehingga hari keenam di lokasi kejadian, 45 daripada 81 individu yang berada di lokasi kejadian berjaya dikeluarkan, kata kerajaan perbandaran George dalam kemas kini terbaru pada pagi Ahad.

Menurut kemas kini itu, 16 daripada 45 pekerja yang ditemukan telah disahkan meninggal dunia manakala 36 lagi masih belum ditemukan.

Ini berlaku selepas penyelamatan ajaib seorang mangsa yang terselamat, Gabriel Guambe, yang terperangkap di bawah runtuhan selama hampir lima hari, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh perbandaran George pada petang Sabtu.

Menurut kenyataan itu, lelaki berusia 32 tahun itu "pulih dengan baik di hospital dengan hanya mengalami kecederaan ringan."

"Dia berada dalam keadaan sangat baik, terutamanya kerana dia telah bertahan selama 118 jam tanpa makanan atau air," menurut kenyataan itu. "Dia baru sahaja menikmati hidangan pertamanya di hospital dan berada dalam semangat yang baik."

Dalam video yang dikongsi bersama kenyataan itu, Guambe meluahkan rasa terima kasih kepada semua anggota penyelamat atas usaha gigih mereka.

Pasukan penyelamat di lokasi terus digalakkan untuk terus berbakti dan bekerja keras ketika menjalankan tugas mencabar mencari mangsa yang masih belum ditemukan, menurut kenyataan perbandaran George.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 11:15 PM